Rabu, 15 Julai 2009

MEROKOK : PERJALANAN MENEMPAH MAUT

TAHNIAH BUAT ANAK DIDIK DI TINGKATAN 4 SAINS, NURULHAQ BIN ARSHAD YANG MERAIH NAIB JOHAN DALAM PERTANDINGAN MENULIS ESEI SEMPENA SAMBUTAN HARI TANPA TEMBAKAU PERINGKAT NEGERI SEMBILAN 2009.

TAHNIAH JUA BUAT ANAK DIDIK, MOHD ZAINUL FADLI BIN JUDISTIRA KERANA MEMENANGI HADIAH SAGU HATI DALAM PERTANDINGAN YANG SAMA.

SEMOGA DATA-DATA YANG TERDAPAT DALAM ESEI INI BERGUNA UNTUK PENULISAN KARANGAN. SELAMAT MEMBACA!


MEROKOK: PERJALANAN MENEMPAH MAUT


Dalam menongkah era dunia tanpa sempadan, pelbagai masalah timbul selaras dengan kemajuan Malaysia di persada global. Masyarakat masih disogokkan dengan gejala merokok yang membimbangkan. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001) membuktikan 20 peratus perokok di Malaysia terdiri daripada golongan remaja dan statistik ini meningkat setiap tahun. Dianggarkan 50 hingga 60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari. Siapakah yang perlu dipersalahkan apabila generasi pewaris kepimpinan negara terlibat dengan gejala merokok? Tidak sedarkah para remaja bahawa merokok ibarat perjalanan bahaya menempah maut? Sesungguhnya, gejala merokok yang kian kronik perlu diberi perhatian serius oleh segenap lapisan masyarakat agar rakyat Malaysia kekal sihat dan berupaya menyumbangkan tenaga ke arah kecemerlangan negara.

Hari Tanpa Tembakau merupakan inisiatif proaktif Pertubuhan Kesihatan Sedunia secara global, bertujuan mengingatkan masyarakat tentang wabak tembakau yang meracuni gaya hidup masyarakat sedunia serta membunuh empat juta penduduk dunia setiap tahun. Angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta orang pada tahun 2030. Statistik daripada Sufean (2004) menunjukkan 49 peratus lelaki dewasa di Malaysia, merokok, dan jumlah ini melebihi peratusan perokok di negara maju, iaitu 38% di Britain, 35% di Amerika Syarikat dan 30% di Sweden. Setiap hari, antara 14,000 hingga 15,000 remaja mula menjadi penagih tembakau di negara maju. Di negara-negara membangun dan di negara mundur, perokok remaja meningkat antara 68,000 hingga 84,000 orang. Tegasnya, masyarakat perlu sedar akan bahaya merokok agar tidak menjerumuskan diri sendiri ke lembah maut.



Sebatang rokok yang dinyalakan oleh perokok mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang boleh membawa maut. Bahan kimia dalam asap rokok termasuklah ammonia (pencuci lantai dan tandas), arsenik (racun tikus), aseton (peluntur warna kuku), asid asetik (cuka), asid stearik (lilin), butana (cecair pemetik api), DDT (racun serangga), etanol (alkohol), heksamin (pencucuh barbeku), hidrogen sianida (gas beracun yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati), karbon monoksida (asap kenderaan bermotor), metana (gas paya), metanol (minyak roket), naftalena (ubat gegat dan kapur barus), nikotin (dadah yang menagihkan), tar, toluena (pelarut industri) dan vinil klorida (bahan untuk membuat PVC). Sekiranya perokok benar-benar menyayangi dirinya, mengapakah dia sanggup membinasakan dirinya sendiri dengan merokok? Hargailah kesihatan dan nyawa, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

Racun paling berbahaya dalam sebatang rokok ialah tar, karbon monoksida dan nikotin. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia penyebab kanser. Kajian perubatan mengesahkan "benzopyrene" iaitu sejenis "polycyclic aromatic hydrocarbon" merupakan agen yang memulakan proses kejadian kanser. Justeru, tidak hairanlah, statistik di Malaysia membuktikan merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kes kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser, iaitu kanser paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. 50 peratus kematian pula berpunca daripada sakit jantung dan strok. Setiap tahun, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat kanser, sakit jantung dan penyakit sekatan pulmonari kronik. Hampir satu per empat mangsa pesakit jantung berpunca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan penyebab utama kematian perokok, manakala strok merupakan pembunuh keempat. Lebih menyedihkan, negara kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan penyakit akibat gejala merokok. "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna."


Karbon monoksida di dalam rokok pula, merupakan gas beracun yang dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas tersebut menjejaskan bekalan oksigen ke tisu-tisu sehingga tisu-tisu terencat dan akhirnya mengakibatkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok memasuki tubuh manusia, racun berkenaan menyebabkan kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya, bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, sehingga menyebabkan bronkitis di bahagian paru-paru. Racun rokok turut merosakkan pundi udara dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit emfisima.

Selain mendatangkan implikasi kronik terhadap diri perokok, asap rokok yang dihembus oleh perokok, atau asap rokok basi (istilah saintifiknya, merokok secara pasif) turut menjejaskan kesihatan orang di sekelilingnya. Profesor Dato' Dzulkifli Abd. Razak, mantan naib canselor Universiti Sains Malaysia dalam rencananya, "Asap Rokok Basi: Dedahkan Faktanya" menjelaskan, asap rokok basi mengandungi lebih banyak bahan beracun seperti nikotin, formaldehid dan benzene, berbanding asap rokok yang disedut oleh perokok. Asap ini lebih berbahaya kerana asap berkenaan terapung di udara beberapa ketika.

Asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, serta menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air, akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin bukan sahaja mendatangkan ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Nikotin turut merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ-organ yang berkaitan. Kesan ini, dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, kebas pada jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki dan serangan penyakit jantung. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan menerusi air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Tegasnya, sudah terang lagikan bersuluh, perbuatan merokok membawa beratus-ratus masalah kesihatan yang tiada noktah penghujung.



Tuntasnya, semua pihak perlu bekerjasama "bagai aur dengan tebing" memperkasakan usaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan merokok akan mendatangkan implikasi negatif kepada diri sendiri, masyarakat sekeliling dan juga negara. Ibu bapa wajar menjadi teladan terbaik bagi anak-anak dan menasihati anak-anak agar menghindari tabiat merokok. Kementerian Kesihatan, pihak sekolah dan pihak media massa juga perlu memainkan peranan signifikan untuk memastikan bilangan perokok dapat dikurangkan, bak kata peribahasa, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Aktiviti bersempena Kempen Antimerokok wajar diteruskan dengan berkesan agar maklumat tentang bahaya merokok berupaya menginsafkan masyarakat. "Rokok Tiada, Kehidupan Bahagia." Bersama-samalah kita berpadu tenaga mewujudkan suasana Satu Malaysia yang lebih sihat dan ceria, bebas daripada kepulan asap rokok yang menjerumuskan kita ke lembah maut. "Kesihatan Cemerlang, Masyarakat Gemilang, Negara Terbilang."






Tiada ulasan: