Sabtu, 25 Julai 2009

SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

Sahabat anda menulis surat, ingin mengetahui masalah disiplin yang berlaku di sekolah anda dan langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk mengatasinya. Balas surat sahabat anda itu.


Muhamad Ameerul bin Mohd,
1661, Taman Perdana Indah,
73000 Tampin.

16 Oktober 2009

Ke hadapan sahabatku, saudara Zul yang berada di Brunei, diharapkan saudara sekeluarga sihat walafiat hendaknya.

Saudara Zul,

Apa khabar saudara di Brunei? Sudah selesaikah peperiksaan akhir tahun di sekolah saudara? Terima kasih kerana begitu cepat membalas surat saya. Penerangan Zul tentang tempat-tempat pelancongan di Brunei dan gambar-gambar yang dikirim menerusi e-mel, amat menarik. Baiklah, saya akan menceritakan kepada Zul serba sedikit masalah disiplin yang berlaku di sekolah saya dan langkah-langkah yang telah dijalankan oleh pentadbir sekolah saya untuk mengatasi masalah berkenaan.


Untuk pengetahuan saudara Zul, salah satu masalah disiplin yang berlaku di sekolah saya ialah kes merokok yang kian meningkat saban minggu. Masalah merokok menjadi rutin harian, terutamanya bagi pelajar-pelajar lelaki tingkatan tiga, tingkatan empat dan tingkatan lima. Sikap segelintir pelajar ini sebenarnya mengundang padah kepada diri mereka sendiri, kerana pelbagai hukuman menanti mereka, jika mereka ditangkap merokok di kawasan sekolah. Sungguhpun para pelajar ini telah berkali-kali menerima hukuman rotan daripada Encik Huhanesan, guru disiplin, namun usaha guru disiplin di sekolah saya ibarat "menghitung bulu kambing." Tahukah saudara mengapa gejala merokok di sekolah saya berterusan? Para pelajar di sekolah saya, begitu mudah terpengaruh dengan sikap negatif rakan-rakan sebaya yang sering mengabaikan pelajaran. Sebaik sahaja guru keluar dari kelas setelah tamat waktu sesuatu mata pelajaran, pelajar-pelajar yang gemar merokok turut keluar dari kelas. Mereka akan ke tandas dan ke tempat-tempat strategik seperti di belakang Makmal Multimedia, di belakang Kompleks Pertanian atau bersembunyi di sebalik Stor Perabot yang terletak di hujung bangunan sekolah. Sekiranya tiada pihak yang berjaya mengesan tindakan negatif mereka, pelajar-pelajar berkenaan akan melepak di luar kelas berjam-jam lamanya. Sesungguhnya saudara, sikap segelintir pelajar yang ketagih rokok, memburukkan imej sekolah saya, seterusnya menyukarkan pihak pentadbir menjadikan sekolah ini "bebas masalah disiplin." Lebih menyedihkan, terdapat pelajar yang cuba memasukkan ganja ke dalam puntung rokok dan kes berkenaan kini dalam perhatian pihak polis. Pada minggu lepas sahaja, sebanyak sepuluh kotak rokok dan empat pemetik api berjaya dirampas daripada pelajar-pelajar yang disyaki merokok. Tuan Haji Hanafis, guru penolong kanan hal ehwal murid di sekolah saya, begitu marah dengan sikap pelajar-pelajar yang keras hati kerana nasihat yang diberikan oleh para guru "seperti hujan jatuh ke pasir." Tegasnya saudara, masalah pelajar merokok di sekolah saya, kian membimbangkan dan pihak sekolah sedang merangka kerjasama dengan pihak polis untuk menyelesaikan permasalahan yang semakin kronik ini.

Saudara Zul,

Pada era globalisasi yang kian mencabar, para remaja begitu mudah terjebak dengan pelbagai anasir negatif. Sikap suka memberontak dan perasaan tidak puas hati terhadap peraturan sekolah yang membosankan, mendorong segelintir pelajar di sekolah saya melakukan vandalisme. Perbuatan merosakkan harta benda sekolah dan menconteng dinding bangunan sekolah turut dilakukan kerana geram
dengan sikap guru-guru yang bertindak tegas menghukum atau mendenda pelajar. Saya terkilan dengan gejala vandalisme yang berlaku di sekolah saya kerana pihak sekolah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan hampir lima belas ribu ringgit tahun lepas, semata-mata untuk membaik pulih segala kerosakan yang berlaku. Dinding pada bahagian tangga sekolah dan dinding tandas sekolah diconteng dengan pelbagai lukisan dan perkataan yang tidak selaras dengan norma masyarakat yang bertatasusila. Kepala paip di tandas, bukan sahaja dirosakkan, malah ada yang dicuri. Lubang tandas pelajar lelaki disumbat dengan kayu, batu, pasir dan buku-buku latihan. Pada minggu lepas ketika perhimpunan sekolah, pengetua sekolah saya melahirkan rasa kesal dan marah kerana tiga buah tombol pintu di kelas tingkatan tiga, dicabut! Pada waktu petang, terdapat pelajar yang sengaja merosakkan papan-papan kenyataan di kelas, mengoyakkan kertas bunga yang telah rapi dibalut pada meja, mencuri buku-buku latihan yang ditinggalkan oleh pelajar dan merosakkan kerusi meja di kelas. Mungkin saudara mengatakan saya mereka-reka segala cerita ini, namun inilah realiti suasana sekolah pada era pascamerdeka. Terdetik di hati saya, inikah caranya putera puteri harapan bangsa menghargai nikmat kemerdekaan? Untuk pengetahuan saudara, apabila kes-kes vandalisme berlarutan, pelajar-pelajar sudah tawar hati dan enggan menceriakan lagi, kelas masing-masing. Bayangkanlah saudara, berpuluh-puluh ringgit sudah kami keluarkan untuk Program Keceriaan Kelas, tetapi segala keindahan yang diusahakan bersama-sama oleh para pelajar, musnah sekelip mata angkara pelajar-pelajar yang tidak berperikemanusiaan. Bukankah peribahasa ada menyebut, "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga?" Konklusinya, masalah vandalisme yang berterusan, boleh menjejaskan imej sekolah dan wajar ditangani dengan berkesan.

Saudara Zul,

Setiap masalah yang berlaku, pasti ada jalan penyelesaiannya. "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Sebenarnya saudara, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi menangani masalah disiplin yang kian meningkat. Pada awal semester kedua, pihak sekolah telah bekerjasama dengan pihak polis daerah untuk melaksanakan Program Ops Disiplin. Program Ops Disiplin merupakan program motivasi khas yang dijalankan oleh pihak polis di daerah saya, bagi membantu mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah menengah. Pihak polis telah meminta guru disiplin menyenaraikan nama pelajar yang pernah melakukan kesalahan disiplin melebihi tiga kali. Kesalahan disiplin yang diambil kira ialah merokok, ponteng kelas, ponteng sekolah, buli, gangsterisme, bergaduh dan melawan guru. Semua pelajar yang disenaraikan namanya diwajibkan pergi ke Balai Polis Tampin untuk menghadiri sesi motivasi.
Pegawai-pegawai polis yang mengendalikan sesi ceramah motivasi merupakan pegawai polis yang bertugas di Jabatan Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah. Setelah sehari suntuk didedahkan dengan sesi ceramah, keesokannya pula, pelajar-pelajar berkenaan dibawa ke Kem Biro Tatanegara, Kuala Pilah selama dua hari. Remaja-remaja yang bermasalah disiplin ini dikerah menjalani pelbagai aktiviti lasak, yang mencabar ketahanan fizikal dan mental. Untuk pengetahuan saudara, aktiviti di Kem Biro Tatanegara bermula seawal 4.30 pagi dan berakhir selewat 1.30 pagi keesokan harinya. Aktiviti yang ditempuhi oleh semua
peserta benar-benar mencabar kemahiran minda, ketahanan diri dan amat memenatkan. Kerjasama erat antara pihak sekolah dan pihak polis menjayakan Program Ops Disiplin ternyata menunjukkan hasil yang positif. "Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu." Pihak polis sendiri telah datang ke sekolah saya pada waktu perhimpunan pagi dan menyampaikan sijil penyertaan kepada para pelajar yang terpilih menyertai Program Ops Disiplin. Empat bulan selanjutnya, guru disiplin di sekolah saya menarik nafas lega kerana semua pelajar begitu bersemangat menuntut ilmu, belajar di kelas masing-masing tanpa suasana bising. Kesimpulannya saudara, kerjasama erat antara pihak sekolah dan pihak polis perlu diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang, agar disiplin para pelajar pada alaf baharu ini dapat dimantapkan.


Selain menjalinkan kerjasama dengan pihak polis, pihak pentadbir sekolah telah melaksanakan Program Keceriaan Sekolah bersama-sama guru-guru, pekerja sekolah, ahli keluarga pelajar dan pelajar-pelajar sekolah saya. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat bekerjasama, cinta akan harta benda sekolah dan cinta akan kebersihan alam sekitar dalam kalangan anak-anak didik di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Murni. Program ini telah berlangsung pada hari Sabtu mulai 8.00 pagi sehingga 1.00 petang. Sepanjang tempoh tersebut, segala kerosakan yang dilakukan oleh para pelajar akibat kegiatan vandalisme, dibaik pulih dan persekitaran sekolah diceriakan kembali. Para pelajar bersama-sama ibu bapa, abang dan kakak mereka bekerjasama "bagai aur dengan tebing", mengecat semula dinding kelas, dinding tangga dan dinding tandas yang diconteng. Papan-papan kenyataan yang berlubang-lubang diganti dengan papan kenyataan baharu. Kerusi dan meja yang patah turut dibaiki. Semua kelas telah dihias dan diceriakan dengan sumbangan langsir, sumbangan alas meja dan pokok hiasan daripada keluarga pelajar. Kata-kata hikmat digantung semula pada laluan ke makmal, laluan ke kantin dan laluan ke pejabat sekolah. Beberapa kumpulan pelajar yang mahir dalam pendidikan seni, menyiapkan mural pada dinding sekolah. Untuk makluman saudara, setelah Program Keceriaan Sekolah tamat pada 1.00 petang, persekitaran sekolah saya lebih indah dan lebih ceria berbanding dahulu. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menyediakan jamuan makan tengah hari dan sesi cabutan nombor bertuah untuk ibu bapa dan pelajar-pelajar yang hadir. Secara tidak langsung, program ini berjaya menyuntik rasa keinsafan dalam diri para pelajar agar menghargai usaha ibu bapa dan ahli keluarga mereka yang bersusah-payah membantu pihak sekolah membaik pulih segala kerosakan yang berlaku angkara vandalisme. Bukankah peribahasa ada menukilkan, "ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni?" Intihanya, kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa pelajar, berjaya mengurangkan masalah vandalisme yang sebelum ini begitu berleluasa.

Saudara Zul,

Natijahnya, permasalahan disiplin dapat diatasi dengan berkesan seandainya pelajar pada era globalisasi berupaya menghayati tanggungjawabnya sebagai anak yang soleh, murid yang berakhlak mulia dan warga negara yang budiman. Diharapkan pihak sekolah akan terus menjana kerjasama erat antara ibu bapa demi memastikan kecemerlangan sahsiah anak-anak. Malah, kerjasama dengan pihak polis juga wajar diteruskan kerana pihak polis berupaya memantau masalah sosial pelajar di luar sekolah. "Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat." Anjakan paradigma yang berkesan oleh pentadbir sekolah merupakan inspirasi dan pencetus semangat kepada pelajar untuk terus berusaha menimba ilmu dan berjaya dengan cemerlang. Saya amat bersyukur kerana pihak sekolah telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah disiplin pelajar. Kini, saya dan rakan-rakan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal tiba tidak lama lagi. Semoga kita sama-sama dapat meneruskan perjuangan murni kita di medan ilmu ini, meneruskan perjuangan menjejaki istana kejayaan.

Sekianlah sahaja coretan saya buat kali ini. Semoga penerangan saya tentang masalah disiplin yang berlaku di sekolah saya dan langkah-langkah mengatasinya, berjaya meluaskan horizon pemikiran saudara. "Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan." Semoga saudara berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang akan ditempuhi pada akhir semester nanti.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Ameerul









(Hasil penulisan secara berkumpulan --

pelajar-pelajar Tingkatan 5 Bersih 2005)















































2 ulasan:

Awan Putih berkata...

salam.
cikgu warga pendidik.
Bila baca balik karangan diatas teringat masa zaman sekolah dulu. Ada surat rasmi, surat tak rasmi, cerpen dan sebagainya. Ada juga timbul rasa menyesal dalam diri kerana tidak bersungguh belajar ilmu bahasa semasa di bangku sekolah suatu ketika dulu. Baru sekarang nak insaf. Rasa seronok mendalami bunga-bunga bahasa yang indah dan kekadang sukar untuk difahami. Sebab dulu tidak serius menuntut ilmu. Tapi masih belum terlambat ye cikgu. Kan3?..

Unknown berkata...

Cikgu, bolehkan saya minta emel cikgu untuk pertanyaan soalan tentang karangan? email address saya ialah w8229@yahoo.com. terima kasih