Selasa, 11 Ogos 2009

SELAMAT BERJUANG MENGHADAPI PEPERIKSAAN PERCUBAAN


TIADA KEJAYAAN SEMANIS MADU
TANPA PENGORBANAN SEPAHIT HEMPEDU





"TIADA INSAN DILAHIRKAN KE DUNIA
UNTUK GAGAL"

SEMUA INSAN DIKURNIAI
KEHEBATAN TERSENDIRI

KERANA
MINDA KURNIAAN TUHAN
MENANTI MASA
UNTUK
MEMBANTU KITA MENEROKA KECEMERLANGAN

"MULAKANLAH DARI SEKARANG"




SESAL DAHULU PENDAPATAN
SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA


BUAT ANAK-ANAK DIDIK YANG DIKASIHI
DI MANA JUA KALIAN BERADA ...

SELAMAT BERJUANG MENGHADAPI PEPERIKSAAN

IBU BAPA, KELUARGA DAN GURU-GURU
SENTIASA MENDOAKAN KEJAYAAN KALIAN

TERUSKANLAH PERJUANGAN

Sabtu, 25 Julai 2009

SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

Sahabat anda menulis surat, ingin mengetahui masalah disiplin yang berlaku di sekolah anda dan langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk mengatasinya. Balas surat sahabat anda itu.


Muhamad Ameerul bin Mohd,
1661, Taman Perdana Indah,
73000 Tampin.

16 Oktober 2009

Ke hadapan sahabatku, saudara Zul yang berada di Brunei, diharapkan saudara sekeluarga sihat walafiat hendaknya.

Saudara Zul,

Apa khabar saudara di Brunei? Sudah selesaikah peperiksaan akhir tahun di sekolah saudara? Terima kasih kerana begitu cepat membalas surat saya. Penerangan Zul tentang tempat-tempat pelancongan di Brunei dan gambar-gambar yang dikirim menerusi e-mel, amat menarik. Baiklah, saya akan menceritakan kepada Zul serba sedikit masalah disiplin yang berlaku di sekolah saya dan langkah-langkah yang telah dijalankan oleh pentadbir sekolah saya untuk mengatasi masalah berkenaan.


Untuk pengetahuan saudara Zul, salah satu masalah disiplin yang berlaku di sekolah saya ialah kes merokok yang kian meningkat saban minggu. Masalah merokok menjadi rutin harian, terutamanya bagi pelajar-pelajar lelaki tingkatan tiga, tingkatan empat dan tingkatan lima. Sikap segelintir pelajar ini sebenarnya mengundang padah kepada diri mereka sendiri, kerana pelbagai hukuman menanti mereka, jika mereka ditangkap merokok di kawasan sekolah. Sungguhpun para pelajar ini telah berkali-kali menerima hukuman rotan daripada Encik Huhanesan, guru disiplin, namun usaha guru disiplin di sekolah saya ibarat "menghitung bulu kambing." Tahukah saudara mengapa gejala merokok di sekolah saya berterusan? Para pelajar di sekolah saya, begitu mudah terpengaruh dengan sikap negatif rakan-rakan sebaya yang sering mengabaikan pelajaran. Sebaik sahaja guru keluar dari kelas setelah tamat waktu sesuatu mata pelajaran, pelajar-pelajar yang gemar merokok turut keluar dari kelas. Mereka akan ke tandas dan ke tempat-tempat strategik seperti di belakang Makmal Multimedia, di belakang Kompleks Pertanian atau bersembunyi di sebalik Stor Perabot yang terletak di hujung bangunan sekolah. Sekiranya tiada pihak yang berjaya mengesan tindakan negatif mereka, pelajar-pelajar berkenaan akan melepak di luar kelas berjam-jam lamanya. Sesungguhnya saudara, sikap segelintir pelajar yang ketagih rokok, memburukkan imej sekolah saya, seterusnya menyukarkan pihak pentadbir menjadikan sekolah ini "bebas masalah disiplin." Lebih menyedihkan, terdapat pelajar yang cuba memasukkan ganja ke dalam puntung rokok dan kes berkenaan kini dalam perhatian pihak polis. Pada minggu lepas sahaja, sebanyak sepuluh kotak rokok dan empat pemetik api berjaya dirampas daripada pelajar-pelajar yang disyaki merokok. Tuan Haji Hanafis, guru penolong kanan hal ehwal murid di sekolah saya, begitu marah dengan sikap pelajar-pelajar yang keras hati kerana nasihat yang diberikan oleh para guru "seperti hujan jatuh ke pasir." Tegasnya saudara, masalah pelajar merokok di sekolah saya, kian membimbangkan dan pihak sekolah sedang merangka kerjasama dengan pihak polis untuk menyelesaikan permasalahan yang semakin kronik ini.

Saudara Zul,

Pada era globalisasi yang kian mencabar, para remaja begitu mudah terjebak dengan pelbagai anasir negatif. Sikap suka memberontak dan perasaan tidak puas hati terhadap peraturan sekolah yang membosankan, mendorong segelintir pelajar di sekolah saya melakukan vandalisme. Perbuatan merosakkan harta benda sekolah dan menconteng dinding bangunan sekolah turut dilakukan kerana geram
dengan sikap guru-guru yang bertindak tegas menghukum atau mendenda pelajar. Saya terkilan dengan gejala vandalisme yang berlaku di sekolah saya kerana pihak sekolah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan hampir lima belas ribu ringgit tahun lepas, semata-mata untuk membaik pulih segala kerosakan yang berlaku. Dinding pada bahagian tangga sekolah dan dinding tandas sekolah diconteng dengan pelbagai lukisan dan perkataan yang tidak selaras dengan norma masyarakat yang bertatasusila. Kepala paip di tandas, bukan sahaja dirosakkan, malah ada yang dicuri. Lubang tandas pelajar lelaki disumbat dengan kayu, batu, pasir dan buku-buku latihan. Pada minggu lepas ketika perhimpunan sekolah, pengetua sekolah saya melahirkan rasa kesal dan marah kerana tiga buah tombol pintu di kelas tingkatan tiga, dicabut! Pada waktu petang, terdapat pelajar yang sengaja merosakkan papan-papan kenyataan di kelas, mengoyakkan kertas bunga yang telah rapi dibalut pada meja, mencuri buku-buku latihan yang ditinggalkan oleh pelajar dan merosakkan kerusi meja di kelas. Mungkin saudara mengatakan saya mereka-reka segala cerita ini, namun inilah realiti suasana sekolah pada era pascamerdeka. Terdetik di hati saya, inikah caranya putera puteri harapan bangsa menghargai nikmat kemerdekaan? Untuk pengetahuan saudara, apabila kes-kes vandalisme berlarutan, pelajar-pelajar sudah tawar hati dan enggan menceriakan lagi, kelas masing-masing. Bayangkanlah saudara, berpuluh-puluh ringgit sudah kami keluarkan untuk Program Keceriaan Kelas, tetapi segala keindahan yang diusahakan bersama-sama oleh para pelajar, musnah sekelip mata angkara pelajar-pelajar yang tidak berperikemanusiaan. Bukankah peribahasa ada menyebut, "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga?" Konklusinya, masalah vandalisme yang berterusan, boleh menjejaskan imej sekolah dan wajar ditangani dengan berkesan.

Saudara Zul,

Setiap masalah yang berlaku, pasti ada jalan penyelesaiannya. "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Sebenarnya saudara, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi menangani masalah disiplin yang kian meningkat. Pada awal semester kedua, pihak sekolah telah bekerjasama dengan pihak polis daerah untuk melaksanakan Program Ops Disiplin. Program Ops Disiplin merupakan program motivasi khas yang dijalankan oleh pihak polis di daerah saya, bagi membantu mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah menengah. Pihak polis telah meminta guru disiplin menyenaraikan nama pelajar yang pernah melakukan kesalahan disiplin melebihi tiga kali. Kesalahan disiplin yang diambil kira ialah merokok, ponteng kelas, ponteng sekolah, buli, gangsterisme, bergaduh dan melawan guru. Semua pelajar yang disenaraikan namanya diwajibkan pergi ke Balai Polis Tampin untuk menghadiri sesi motivasi.
Pegawai-pegawai polis yang mengendalikan sesi ceramah motivasi merupakan pegawai polis yang bertugas di Jabatan Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah. Setelah sehari suntuk didedahkan dengan sesi ceramah, keesokannya pula, pelajar-pelajar berkenaan dibawa ke Kem Biro Tatanegara, Kuala Pilah selama dua hari. Remaja-remaja yang bermasalah disiplin ini dikerah menjalani pelbagai aktiviti lasak, yang mencabar ketahanan fizikal dan mental. Untuk pengetahuan saudara, aktiviti di Kem Biro Tatanegara bermula seawal 4.30 pagi dan berakhir selewat 1.30 pagi keesokan harinya. Aktiviti yang ditempuhi oleh semua
peserta benar-benar mencabar kemahiran minda, ketahanan diri dan amat memenatkan. Kerjasama erat antara pihak sekolah dan pihak polis menjayakan Program Ops Disiplin ternyata menunjukkan hasil yang positif. "Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu." Pihak polis sendiri telah datang ke sekolah saya pada waktu perhimpunan pagi dan menyampaikan sijil penyertaan kepada para pelajar yang terpilih menyertai Program Ops Disiplin. Empat bulan selanjutnya, guru disiplin di sekolah saya menarik nafas lega kerana semua pelajar begitu bersemangat menuntut ilmu, belajar di kelas masing-masing tanpa suasana bising. Kesimpulannya saudara, kerjasama erat antara pihak sekolah dan pihak polis perlu diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang, agar disiplin para pelajar pada alaf baharu ini dapat dimantapkan.


Selain menjalinkan kerjasama dengan pihak polis, pihak pentadbir sekolah telah melaksanakan Program Keceriaan Sekolah bersama-sama guru-guru, pekerja sekolah, ahli keluarga pelajar dan pelajar-pelajar sekolah saya. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat bekerjasama, cinta akan harta benda sekolah dan cinta akan kebersihan alam sekitar dalam kalangan anak-anak didik di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Murni. Program ini telah berlangsung pada hari Sabtu mulai 8.00 pagi sehingga 1.00 petang. Sepanjang tempoh tersebut, segala kerosakan yang dilakukan oleh para pelajar akibat kegiatan vandalisme, dibaik pulih dan persekitaran sekolah diceriakan kembali. Para pelajar bersama-sama ibu bapa, abang dan kakak mereka bekerjasama "bagai aur dengan tebing", mengecat semula dinding kelas, dinding tangga dan dinding tandas yang diconteng. Papan-papan kenyataan yang berlubang-lubang diganti dengan papan kenyataan baharu. Kerusi dan meja yang patah turut dibaiki. Semua kelas telah dihias dan diceriakan dengan sumbangan langsir, sumbangan alas meja dan pokok hiasan daripada keluarga pelajar. Kata-kata hikmat digantung semula pada laluan ke makmal, laluan ke kantin dan laluan ke pejabat sekolah. Beberapa kumpulan pelajar yang mahir dalam pendidikan seni, menyiapkan mural pada dinding sekolah. Untuk makluman saudara, setelah Program Keceriaan Sekolah tamat pada 1.00 petang, persekitaran sekolah saya lebih indah dan lebih ceria berbanding dahulu. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menyediakan jamuan makan tengah hari dan sesi cabutan nombor bertuah untuk ibu bapa dan pelajar-pelajar yang hadir. Secara tidak langsung, program ini berjaya menyuntik rasa keinsafan dalam diri para pelajar agar menghargai usaha ibu bapa dan ahli keluarga mereka yang bersusah-payah membantu pihak sekolah membaik pulih segala kerosakan yang berlaku angkara vandalisme. Bukankah peribahasa ada menukilkan, "ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni?" Intihanya, kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa pelajar, berjaya mengurangkan masalah vandalisme yang sebelum ini begitu berleluasa.

Saudara Zul,

Natijahnya, permasalahan disiplin dapat diatasi dengan berkesan seandainya pelajar pada era globalisasi berupaya menghayati tanggungjawabnya sebagai anak yang soleh, murid yang berakhlak mulia dan warga negara yang budiman. Diharapkan pihak sekolah akan terus menjana kerjasama erat antara ibu bapa demi memastikan kecemerlangan sahsiah anak-anak. Malah, kerjasama dengan pihak polis juga wajar diteruskan kerana pihak polis berupaya memantau masalah sosial pelajar di luar sekolah. "Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat." Anjakan paradigma yang berkesan oleh pentadbir sekolah merupakan inspirasi dan pencetus semangat kepada pelajar untuk terus berusaha menimba ilmu dan berjaya dengan cemerlang. Saya amat bersyukur kerana pihak sekolah telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah disiplin pelajar. Kini, saya dan rakan-rakan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal tiba tidak lama lagi. Semoga kita sama-sama dapat meneruskan perjuangan murni kita di medan ilmu ini, meneruskan perjuangan menjejaki istana kejayaan.

Sekianlah sahaja coretan saya buat kali ini. Semoga penerangan saya tentang masalah disiplin yang berlaku di sekolah saya dan langkah-langkah mengatasinya, berjaya meluaskan horizon pemikiran saudara. "Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan." Semoga saudara berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang akan ditempuhi pada akhir semester nanti.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Ameerul









(Hasil penulisan secara berkumpulan --

pelajar-pelajar Tingkatan 5 Bersih 2005)















































Rabu, 15 Julai 2009

MEROKOK : PERJALANAN MENEMPAH MAUT

TAHNIAH BUAT ANAK DIDIK DI TINGKATAN 4 SAINS, NURULHAQ BIN ARSHAD YANG MERAIH NAIB JOHAN DALAM PERTANDINGAN MENULIS ESEI SEMPENA SAMBUTAN HARI TANPA TEMBAKAU PERINGKAT NEGERI SEMBILAN 2009.

TAHNIAH JUA BUAT ANAK DIDIK, MOHD ZAINUL FADLI BIN JUDISTIRA KERANA MEMENANGI HADIAH SAGU HATI DALAM PERTANDINGAN YANG SAMA.

SEMOGA DATA-DATA YANG TERDAPAT DALAM ESEI INI BERGUNA UNTUK PENULISAN KARANGAN. SELAMAT MEMBACA!


MEROKOK: PERJALANAN MENEMPAH MAUT


Dalam menongkah era dunia tanpa sempadan, pelbagai masalah timbul selaras dengan kemajuan Malaysia di persada global. Masyarakat masih disogokkan dengan gejala merokok yang membimbangkan. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001) membuktikan 20 peratus perokok di Malaysia terdiri daripada golongan remaja dan statistik ini meningkat setiap tahun. Dianggarkan 50 hingga 60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari. Siapakah yang perlu dipersalahkan apabila generasi pewaris kepimpinan negara terlibat dengan gejala merokok? Tidak sedarkah para remaja bahawa merokok ibarat perjalanan bahaya menempah maut? Sesungguhnya, gejala merokok yang kian kronik perlu diberi perhatian serius oleh segenap lapisan masyarakat agar rakyat Malaysia kekal sihat dan berupaya menyumbangkan tenaga ke arah kecemerlangan negara.

Hari Tanpa Tembakau merupakan inisiatif proaktif Pertubuhan Kesihatan Sedunia secara global, bertujuan mengingatkan masyarakat tentang wabak tembakau yang meracuni gaya hidup masyarakat sedunia serta membunuh empat juta penduduk dunia setiap tahun. Angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta orang pada tahun 2030. Statistik daripada Sufean (2004) menunjukkan 49 peratus lelaki dewasa di Malaysia, merokok, dan jumlah ini melebihi peratusan perokok di negara maju, iaitu 38% di Britain, 35% di Amerika Syarikat dan 30% di Sweden. Setiap hari, antara 14,000 hingga 15,000 remaja mula menjadi penagih tembakau di negara maju. Di negara-negara membangun dan di negara mundur, perokok remaja meningkat antara 68,000 hingga 84,000 orang. Tegasnya, masyarakat perlu sedar akan bahaya merokok agar tidak menjerumuskan diri sendiri ke lembah maut.



Sebatang rokok yang dinyalakan oleh perokok mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang boleh membawa maut. Bahan kimia dalam asap rokok termasuklah ammonia (pencuci lantai dan tandas), arsenik (racun tikus), aseton (peluntur warna kuku), asid asetik (cuka), asid stearik (lilin), butana (cecair pemetik api), DDT (racun serangga), etanol (alkohol), heksamin (pencucuh barbeku), hidrogen sianida (gas beracun yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati), karbon monoksida (asap kenderaan bermotor), metana (gas paya), metanol (minyak roket), naftalena (ubat gegat dan kapur barus), nikotin (dadah yang menagihkan), tar, toluena (pelarut industri) dan vinil klorida (bahan untuk membuat PVC). Sekiranya perokok benar-benar menyayangi dirinya, mengapakah dia sanggup membinasakan dirinya sendiri dengan merokok? Hargailah kesihatan dan nyawa, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

Racun paling berbahaya dalam sebatang rokok ialah tar, karbon monoksida dan nikotin. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia penyebab kanser. Kajian perubatan mengesahkan "benzopyrene" iaitu sejenis "polycyclic aromatic hydrocarbon" merupakan agen yang memulakan proses kejadian kanser. Justeru, tidak hairanlah, statistik di Malaysia membuktikan merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kes kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser, iaitu kanser paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. 50 peratus kematian pula berpunca daripada sakit jantung dan strok. Setiap tahun, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat kanser, sakit jantung dan penyakit sekatan pulmonari kronik. Hampir satu per empat mangsa pesakit jantung berpunca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan penyebab utama kematian perokok, manakala strok merupakan pembunuh keempat. Lebih menyedihkan, negara kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan penyakit akibat gejala merokok. "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna."


Karbon monoksida di dalam rokok pula, merupakan gas beracun yang dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas tersebut menjejaskan bekalan oksigen ke tisu-tisu sehingga tisu-tisu terencat dan akhirnya mengakibatkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok memasuki tubuh manusia, racun berkenaan menyebabkan kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya, bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, sehingga menyebabkan bronkitis di bahagian paru-paru. Racun rokok turut merosakkan pundi udara dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit emfisima.

Selain mendatangkan implikasi kronik terhadap diri perokok, asap rokok yang dihembus oleh perokok, atau asap rokok basi (istilah saintifiknya, merokok secara pasif) turut menjejaskan kesihatan orang di sekelilingnya. Profesor Dato' Dzulkifli Abd. Razak, mantan naib canselor Universiti Sains Malaysia dalam rencananya, "Asap Rokok Basi: Dedahkan Faktanya" menjelaskan, asap rokok basi mengandungi lebih banyak bahan beracun seperti nikotin, formaldehid dan benzene, berbanding asap rokok yang disedut oleh perokok. Asap ini lebih berbahaya kerana asap berkenaan terapung di udara beberapa ketika.

Asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, serta menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air, akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin bukan sahaja mendatangkan ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Nikotin turut merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ-organ yang berkaitan. Kesan ini, dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, kebas pada jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki dan serangan penyakit jantung. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan menerusi air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Tegasnya, sudah terang lagikan bersuluh, perbuatan merokok membawa beratus-ratus masalah kesihatan yang tiada noktah penghujung.



Tuntasnya, semua pihak perlu bekerjasama "bagai aur dengan tebing" memperkasakan usaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan merokok akan mendatangkan implikasi negatif kepada diri sendiri, masyarakat sekeliling dan juga negara. Ibu bapa wajar menjadi teladan terbaik bagi anak-anak dan menasihati anak-anak agar menghindari tabiat merokok. Kementerian Kesihatan, pihak sekolah dan pihak media massa juga perlu memainkan peranan signifikan untuk memastikan bilangan perokok dapat dikurangkan, bak kata peribahasa, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Aktiviti bersempena Kempen Antimerokok wajar diteruskan dengan berkesan agar maklumat tentang bahaya merokok berupaya menginsafkan masyarakat. "Rokok Tiada, Kehidupan Bahagia." Bersama-samalah kita berpadu tenaga mewujudkan suasana Satu Malaysia yang lebih sihat dan ceria, bebas daripada kepulan asap rokok yang menjerumuskan kita ke lembah maut. "Kesihatan Cemerlang, Masyarakat Gemilang, Negara Terbilang."






Sabtu, 11 Julai 2009

PENULISAN CEMERLANG 8: KOLEKSI MAKSUD AYAT-AYAT AL-QURAN

SALAM PENUH CERIA BUAT ANAK-ANAK DIDIK YANG DIKASIHI, JUA BUAT PENGUNJUNG BLOG INI.

KOLEKSI MAKSUD AYAT AL-QURAN YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENULISAN KARANGAN.

(PELAJAR-PELAJAR DI SEKOLAH AGAMA ATAU YANG MENGAMBIL MATA PELAJARAN TASAWUR ISLAM, BOLEHLAH MENGGUNAKAN ILMU AGAMA YANG DIPELAJARI UNTUK DIAPLIKASIKAN DALAM PENULISAN KARANGAN)

"Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia dan pahala yang baik, di akhirat." (3:148)

"Allah menerima taubat orang yang dikehendaki-Nya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (9:15)

"Dialah yang telah menciptakan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, tetapi amat sedikit kamu bersyukur." (Surah al-Mukminun: 78)

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar." (24: 21)

"Janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa." (5: 2)

"Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik." (2: 195)

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar."
(2: 153)

"Kamu adalah umat yang terbaik, yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar." (3: 110)


SEKADAR PERINGATAN BUAT ANAK DIDIK YANG DIKASIHI:

SYARAT MENDAPAT "A" UNTUK PENULISAN KARANGAN:

PELAJAR PERLU MENGGUNAKAN "UNGKAPAN MENARIK" DALAM PENULISAN. "UNGKAPAN MENARIK" TERMASUKLAH --

PERIBAHASA, KATA-KATA HIKMAT, COGAN KATA, PETIKAN UCAPAN TOKOH, FRASA MENARIK, HADIS DAN MAKSUD AYAT AL-QURAN.

SEMOGA KOLEKSI UNGKAPAN MENARIK YANG TELAH CIKGU SEDIAKAN DI SINI, DAPAT DIGUNAKAN SEBAIK-BAIKNYA OLEH PELAJAR SEMASA MENULIS KARANGAN BAHASA MELAYU.

SEKIAN DAHULU BUAT KALI INI. "PERJUANGAN TETAP DITERUSKAN"

Ahad, 5 Julai 2009

PENULISAN CEMERLANG 7: KOLEKSI HADIS

HADIS-HADIS YANG BOLEH DIGUNAKAN DALAM PENULISAN KARANGAN BAHASA MELAYU

AMANAH

Daripada Anas bin Malik r.a., sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji."

Daripada Jabir bin Abdillah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Amanah membawa rezeki dan khianat membawa kefakiran."

Setiap anak itu dilahirkan mengikut fitrah (suci bersih), maka ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

BERUSAHA

Daripada Aishah r.ha., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Berusahalah mencari rezeki dan keperluan hidup pada waktu pagi-pagi lagi, maka sesungguhnya waktu pagi itu memberi berkat kejayaan."

Daripada Aisyah r.ha., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu, ia melaksanakannya dengan cemerlang."

Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Perelokkanlah duniamu dan beramallah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati keesokan hari."

Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, dan berilah berita gembira serta jangan menakutkan." (Riwayat al-Bukhari)

Daripada Abu Bakar al-Siddiq r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Dan jauhilah kamu daripada dusta kerana hal itu merupakan pintu dari pintu-pintu neraka."

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Mencari rezeki yang halal itu wajib selepas perkara fardu yang lain."

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah s.w.t. mengasihi hamba-Nya, mukmin yang berusaha (mempunyai pekerjaan)." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Muslim dari Amru bin Maimun r.a., bahawa pada suatu hari, Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud, "Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain. Masa muda sebelum datang hari tua. Masa sihat, sebelum dirimu dilanda sakit. Masa kaya sebelum jatuh miskin. Masa lapang sebelum datangnya waktu sibuk. Masa hidupmu sebelum datang saat kematian."

BERAKHLAK MULIA

Daripada Abu Darda', Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Bukanlah (golongan ini) daripada orang beriman yang sempurna imannya; orang yang suka mengecam, suka melaknat, suka bercakap kufur dan yang suka mencarut." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Daripada Aisyah r.ha., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibn Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Orang yang dianggap paling bersyukur kepada Allah ialah orang yang paling banyak berterima kasih kepada manusia."

Saidina Ali k.w.h. pernah menegaskan, "Pemimpin yang baik membetulkan dirinya terlebih dahulu, sebelum dia membetulkan kesilapan orang lain."

Bertakwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anak kamu. (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Muliakanlah anak-anak kamu dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barang siapa yang memuliakan anak-anaknya, Allah akan memuliakannya di dalam syurga."

Anak-anak dilahirkan ibarat kain yang putih bersih. Ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani.

Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Kebersihan itu sebahagian daripada iman.

KASIH SAYANG

Daripada Abu Musa al-Asy'ari, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Kaitan antara seorang yang beriman dengan yang lainnya, umpama sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain."

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sebarkanlah salam antara kamu nescaya kamu berkasih-kasihan."

(Dipetik dari Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Himpunan Hadis Modal Insan, Telaga Biru Sdn. Bhd., 2007)

Sabtu, 4 Julai 2009

CERPEN "UMBARA CINTA"

Adiratna tersenyum. Manis sekali.

"Bayangan cinta tidak dapat dimiliki kerana segala-galanya hanya ilusi. Puncak cita-cita yang perlu ditakluki kerana pendakian itulah sebenar-benar realiti. Zul, baliklah ke sekolah. Peperiksaan STPM kian hampir." Gadis itu bersuara, kemudian berlalu.

Sudi-sudilah membaca cerpen cikgu. Selamat menghayati kisah seterusnya. Semoga terus bermotivasi menghadapi hari-hari mendatang dengan penuh keceriaan ...


Ahad, 28 Jun 2009

BERSANTAI SEKETIKA DI PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA PERINGKAT NEGERI SEMBILAN 2009

Pada 24 Jun sehingga 26 Jun 2009, kira-kira 100 orang pelajar dari seluruh Negeri Sembilan telah berkampung di Sekolah Kebangsaan (Berasrama) Petaseh, untuk mengikuti Program Perkampungan Penulis Muda Peringkat Negeri anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.
Ingin mengetahui lebih lanjut tentang program ini?
Sila berkunjung ke blog peribadi cikgu: Klik pada pautan di bahagian kanan blog ini.




















Jumaat, 19 Jun 2009

PENULISAN CEMERLANG 6: KOLEKSI PENDAPAT TOKOH

PENDAPAT TOKOH MEMANG BANYAK DAN AMAT DIGALAKKAN UNTUK DIGUNAKAN DALAM PENULISAN KARANGAN.

PERSOALANNYA, MAMPUKAH PELAJAR MENGINGATI SEMUA PENDAPAT TOKOH INI? Di sinilah pelajar perlu menggunakan kebijaksanaan fikiran dan kehebatan minda untuk memilih pendapat-pendapat tokoh yang bersifat "umum" yang boleh digunakan untuk kepelbagaian tema karangan. SELAMAT MENCUBA!
  1. Buku merupakan penasihat yang kekal. Chambers.
  2. Cintailah musuhmu kerana mereka akan menunjukkan kesalahan-kesalahanmu. Benjamin Franklin.
  3. Jangan bertanya apa sumbangan negara kepadamu, tetapi tanyalah apa yang boleh kamu sumbangkan untuk negara. Abraham Lincoln.
  4. Jangan memikirkan masa lampau atau masa akan datang, tetapi tawanlah saat ini dan ambillah manfaatnya. Pascal
  5. Jika kita membenci orang, orang akan membenci kita. Pepatah Tibet.
  6. Kejahatan yang dilakukan oleh manusia tetap hidup, walaupun orang itu telah mati. Shakespeare.
  7. Kesedaran walaupun sesaat, sering kali lebih berharga berbanding pengalaman sepanjang hayat. Oliver Wendell Holmes.
  8. Keyakinan akan memotivasikan diri anda untuk melangkah lebih tinggi. Dr. Irfan Khairi, jutawan internet di Malaysia.
  9. Masa umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, masa pasti akan memancung kamu. Pepatah Arab.
  10. Merancang masa bermakna, merancang kejayaan. Dr. Irfan Khairi.
  1. Orang yang bijaksana akan sentiasa dilanda kebimbangan. Zhuang Zi.
  2. Orang yang rajin dan tabah tidak mudah mengatakan sesuatu itu, tiada harapan. Cicero.
  3. Orang yang budiman ialah orang yang menghargai dan mengakui kelebihan bakat temannya. Confucious.
  4. Orang yang berfikiran besar merupakan orang yang melihat bahawa fikiranlah yang bakal menguasai dunia. Napoleon Hill.
  5. Pengalaman ialah guru terbaik. Cicero.
  6. Usia tua datang tanpa dipanggil. Pepatah Jerman.
  7. Rakyat itu akar bangsa. Jika akarnya sihat, maka pokoknya pun sihat. Beng Tju.
  8. Seseorang yang mempunyai perancangan, dapat mengatasi sepuluh orang yang tidak mempunyai perancangan. Frank Tibolt.
  9. Tiada kejahatan yang dapat dinilai sebagai baik, walaupun kejahatan itu dilakukan untuk tujuan yang baik. Pepatah Arab.
  10. Manusia dilahirkan untuk meraih kejayaan, bukan untuk mengalami kegagalan. Henry Thoreau.
  11. Wajah ialah saksi yang tidak pernah berdusta. Socrates.
  12. Yang penting, bukan dari mana kita datang, tetapi ke mana kita akan pergi. J. Jayewarden
Idea boleh didapati di mana-mana
tetapi
terpulanglah kepada individu
untuk memanfaatkannya
dengan berkesan.


-- Dr. Irfan Khairi --




Khamis, 18 Jun 2009

PENULISAN CEMERLANG 5: KOLEKSI COGAN KATA

ANAK-ANAK DIDIK YANG DIKASIHI. SALAM SEJAHTERA.

SELAMAT MENJANA KEHEBATAN MINDA!

  1. Bahasa Jiwa Bangsa
  2. Bangsa Membaca Bangsa Berjaya
  3. Budi Bahasa Budaya Kita
  4. Belia Benci Dadah
  5. Bersih Cekap Amanah
  6. Bersekutu Bertambah Mutu
  7. Belilah Barangan Buatan Malaysia
  8. Biar Lambat Asalkan Selamat
  9. Cegah Sebelum Parah
  10. Cemerlang, Gemilang, Terbilang
11. Dadah Musuh Negara
12. Filem Kita Wajah Kita
13. Fikir Dahulu Sebelum Buang
13. Generasi Muda Wawasan Bangsa
14. Generasi Muda Peneraju Wawasan
15. Guru Cemerlang, Pelajar Gemilang, Negara Terbilang
16. Guru Pembina Negara Bangsa
17. Indah Budi Kerana Bahasa
18. Kepimpinan Melalui Teladan
19. Keranamu Malaysia
20. Malaysia Boleh


21. Membaca Jambatan Ilmu
22. Membaca Sepanjang Hayat
23. Rumahku Syurgaku
24. Remaja Penggerak Wawasan
25. Satu Malaysia
26. Semakin Hari Semakin Sayang
27. Sihat Sepanjang Hayat
28. Sayangilah Sungai Kita
29. Tak Nak Merokok
30. Utamakan Kesihatan

JANGANLAH DITANGISKAN HARI SEMALAM KERANA SEMALAM TELAH BERLALU.
USAHLAH MENGHARAPKAN HARI ESOK KERANA ESOK TIDAK MENJANJIKAN APA-APA.
BERUSAHALAH HARI INI, KERANA HARI INI MENENTUKAN MASA HADAPAN ANDA.

Sabtu, 13 Jun 2009

PENULISAN CEMERLANG 4: PENGGUNAAN FRASA MENARIK

ASSALAMUALAIKUM. SALAM SEJAHTERA.

SALAM INGATAN BUAT PUTERA PUTERI HARAPAN BANGSA YANG SENTIASA GIGIH BERJUANG MEREALISASIKAN IMPIAN DAN CITA-CITA.

KOLEKSI FRASA MENARIK

Frasa menarik yang bermula dengan huruf "m"

  • memiliki iltizam yang tinggi
  • memiliki jati diri yang unggul
  • mempunyai keterampilan sendiri
  • mempunyai pegangan agama yang mantap
  • memiliki prakarsa untuk melakukan perubahan
  • menempuh arus globalisasi
  • menjana pertumbuhan ekonomi
  • mengasah daya kepimpinan
  • mengukuhkan keutuhan perpaduan bangsa Malaysia
  • memiliki ketahanan diri yang ampuh untuk menghadapi dugaan dan cabaran

  • menerjah kecemerlangan
  • menggarap pengetahuan
  • memberikan nafas baharu
  • membentuk personaliti unggul dan hala tuju kehidupan
  • menjana kehebatan bakat dan kreativiti
  • menyuburkan amalan nilai murni
  • menyemai kesantunan budi pekerti
  • menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda
  • menjalinkan kemesraan dan ikatan kasih sayang
  • mengeratkan jalinan semangat kejiranan
  • menyimpulkan ikatan sosial
  • membina kecemerlangan sahsiah
  • menjadi pemangkin kemajuan negara
  • menguasai fikiran dan mengawal minda
  • mematangkan minda masyarakat
  • merealisasikan impian, harapan dan cita-cita
  • membicarakan impian dan harapan
  • menjayakan misi dan visi
  • meneruskan kelangsungan hidup
  • mewarisi tampuk kepimpinan
  • menjayakan agenda kerajaan
  • memerlukan revolusi sikap
  • melipatgandakan usaha dan memperlihatkan komitmen berterusan
  • media arus perdana
  • menguasai dada akhbar
  • mengurangkan jurang digital
  • mengundang padah
  • masih berada di takuk lama
  • masih terbelenggu dengan pemikiran negatif
  • meniti perjalanan kehidupan yang penuh dengan ranjau dan dugaan

HURUF-HURUF LAIN, SELAIN HURUF "m".

  • anjakan paradigma
  • akal yang sihat
  • bertindak rakus terhadap alam sekitar
  • benteng ampuh bagi menghadapi gelombang perubahan
  • benteng ampuh bagi menangani cabaran musim remaja
  • bergelut dengan pelbagai permasalahan
  • didominasi oleh nafsu
  • dipandu oleh ajaran agama yang luhur
  • formula ampuh membina perpaduan kaum
  • hingga ke titisan darah terakhir
  • hingga ke akhir hayat
  • impak baik dan kesan buruk
  • impak sampingan yang tidak terperi
  • kemiskinan maklumat
  • sesawang negatif
  • tepu dengan keghairahan
  • teras kemajuan ummah
  • teras kemajuan arena pendidikan
  • teras pembangunan negara
  • tanggungjawab penting untuk dilunaskan, demi melahirkan insan berkualiti
"LESTARIKAN PERJUANGAN"


Jumaat, 12 Jun 2009

PENULISAN CEMERLANG 3: PENGGUNAAN RANGKAI KATA SETARA

SALAM MOTIVASI. BERTEMU LAGI KITA DI TERATAK CIKGU.

KALI INI, CUBA GUNAKAN PULA RANGKAI KATA SETARA DALAM PENULISAN. RANGKAI KATA YANG DISENARAIKAN, TELAHPUN DISUSUN MENGIKUT ABJAD.



  • bersandar pada cara dan berpegang pada peraturan
  • bercelaru dan berserabut
  • dirungkaikan secara matang dan dileraikan secara bijaksana
  • keperibadian yang mulia dan ketinggian budi yang luhur
  • kemampuan bersaing dengan negara-negara maju dan berkeupayaan ....
  • keupayaan memanipulasikan dan kebolehan mengendalikan
  • kecelaruan pemikiran dan kekusutan minda
  • kemiskinan maklumat dan kekurangan informasi
  • masyarakat yang berbudaya ilmu dan berperibadi unggul
  • melontarkan pendapat bernas dan meluahkan perasaan
  • membuahkan kegembiraan dan melahirkan kesejahteraan
  • menyusuli usaha dan diikuti ikhtiar
  • melampaui batas dan melanggar tatasusila
  • menangkis kegundahan dan keresahan
  • mempersoalkan kegagalan dan mengungkitkan ketewasan
  • meluahkan perasaan dan melahirkan isi hati
  • menimbulkan kesedaran dan melahirkan keinsafan
  • menilai keupayaan sebenar dan mentafsir kemampuan hakiki
  • memperlihatkan keterampilan dan menunjukkan kemampuan
  • melemparkan tohmahan dan melontarkan syak wasangka
  • menggugat keimanan dan menggoncang ketetapan hati
  • mencemarkan imej dan memburukkan bayangan
  • membelakangkan amanah ibu bapa dan mementingkan diri sendiri
  • mengagungkan budaya hiburan dan meminggirkan ajaran agama
  • percanggahan pendapat dan pertentangan hujah
  • usaha yang terancang dan ikhtiar yang teratur

SEKIAN SAHAJA UNTUK KALI INI.

SEMOGA KALIAN DAPAT MENGAPLIKASIKAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEH DI SINI DAN JUGA MEMANFAATKAN SEGALA PENGAJARAN GURU DI SEKOLAH.

TERUSKANLAH MINAT KALIAN UNTUK MEMBACA DAN TERUS MEMBACA.

SESUNGGUHNYA TERLALU BANYAK NIKMAT TUHAN YANG PERLU KITA SYUKURI.

PENULISAN CEMERLANG 2: PENGGUNAAN PERKATAAN YANG SETARA MAKNANYA

PELBAGAIKAN KOSA KATA DENGAN PERKATAAN YANG SETARA (ATAU HAMPIR SAMA) MAKSUDNYA.

SENARAI PERKATAAN DISUSUN MENGIKUT SUSUNAN HURUF SUPAYA MUDAH UNTUK PELAJAR MEMBUAT RUJUKAN DAN MENGULANG KAJI.

SENARAI INI BUKANLAH SENARAI MUKTAMAD. PELAJAR-PELAJAR DIGALAKKAN MENAMBAH KOSA KATA DARI SEMASA KE SEMASA.

HURUF A


alpa dan leka
ambiguiti dan kesamaran

HURUF B

borong dan pukal
berkecamuk dan berserabut
berkomunikasi dan berinteraksi
berdiskusi dan bermuzakarah
berunding dan bekerjasama
bekerjasama dan bantu-membantu
bekerjasama dan bersatu-padu
bersepadu dan terancang
bersopan-santun dan berpekerti mulia
berbudi bahasa dan berhemah tinggi
bertoleransi dan saling memahami
buli-membuli dan gangsterisme

HURUF C

citra dan identiti
ceria dan gembira
cekap bertindak dan konsisten
culas dan malas
cabaran dan pancaroba
cabaran dan dugaan

HURUF I

intonasi dan nada
inovatif dan kreatif
integriti dan kejujuran
ihsan dan bantuan
impian dan cita-cita
intifadah dan perjuangan
ilmuwan dan cendekiawan

HURUF K

kemahuan dan hasrat
kecekalan dan kegigihan
ketabahan dan kesabaran
keinsafan dan keyakinan
kesopanan dan kesusilaan
keunikan dan kekreatifan
kemahiran dan kepakaran
kesibukan dan kesesakan
kepekaan dan keprihatinan
kerisauan dan kebimbangan
keindahan dan keceriaan
keindahan dan kemanisan
kedaifan, kenaifan dan kemiskinan
kebingungan dan enigma
kecemerlangan dan kegemilangan
kesopanan tutur kata dan kehalusan budi pekerti
khidmat nasihat dan bimbingan kaunseling
khazanah bernilai dan warisan berharga

HURUF M

menghargai dan menjunjung tinggi
mendarah daging dan berakar umbi
modenisasi dan globalisasi
menyahut dan mendukung
memperkasa dan melestarikan
menjaga dan memelihara
memelihara dan memulihara
membimbing dan membantu
menyahut dan mendukung
mencintai dan menghargai
menegur dan menasihati
mendaulatkan dan memartabatkan
menggertak dan mengugut
meresahkan dan membimbangkan
menebus kekurangan dan kegagalan
menghayati dan menghargai

HURUF P

pesanan dan nasihat
perkasa lagi unggul
persefahaman dan permuafakatan
pengetahuan, maklumat dan ilmu
pembangunan dan kemajuan
penasihat dan pembimbing
perasaan simpati dan empati

HURUF T

takut dan gentar
takut dan bimbang
tekad dan nekad
terancang dan tersusun
terancang dan konsisten
telus dan tulus
terarah dan terpimpin
tercalar dan terluka
tercalar dan tergores
terlerai dan terungkai

TAHNIAH ATAS USAHA ANDA !

TERUSKAN PERJUANGAN MENJEJAKI ISTANA KEJAYAAN.

Khamis, 11 Jun 2009

PENULISAN CEMERLANG 1: PELBAGAIKAN KOSA KATA

PELBAGAIKAN KOSA KATA DALAM PENULISAN KARANGAN SUPAYA PENGOLAHAN KARANGAN DAN GAYA BAHASA, MANTAP, MENARIK DAN BERKESAN.

CONTOH-CONTOH YANG BOLEH DIAPLIKASIKAN:

PADA ZAMAN MODEN
  • pada era globalisasi
  • pada era globalisasi yang semakin mencabar
  • pada era dunia tanpa sempadan
  • pada era siber
  • pada era teknologi maklumat
  • pada alaf baharu
  • pada alaf baharu yang kian sarat dengan pelbagai cabaran
REMAJA
  • anak-anak belasan tahun
  • anak-anak belasan tahun yang gigih berjuang di medan ilmu
  • pelajar-pelajar
  • para belia
  • generasi muda
  • generasi muda yang masih mentah mengharungi ranjau kehidupan
  • generasi pascamerdeka
  • generasi pewaris kepimpinan negara
  • pemuda pemudi harapan bangsa
  • putera puteri harapan bangsa
  • putera puteri pewaris kepimpinan negara
MASALAH SOSIAL
  • kes-kes jenayah
  • gejala negatif
  • gejala maksiat yang kian berleluasa
  • perangkap maksiat
  • perangkap maksiat yang tidak mengenal mangsa
  • perlakuan antisosial
  • perlakuan yang batil
  • perlakuan yang bertentangan dengan ajaran agama
  • terjebak dalam kegiatan negatif yang menjejaskan kejayaan masa hadapan
  • terjebak dalam kegiatan negatif yang menjatuhkan maruah keluarga
MASALAH YANG KIAN MENINGKAT
  • masalah yang semakin meningkat tahun demi tahun
  • masalah yang semakin berleluasa saban tahun
  • masalah yang kian kronik
  • masalah yang kian serius
  • masalah yang membimbangkan pelbagai pihak
  • masalah yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemimpin dan masyarakat
  • masalah yang menggusarkan pemikiran ibu bapa
  • masalah yang menggusarkan pemikiran pelbagai pihak
  • masalah yang menuntut penyelesaian segera
BEKERJASAMA
  • bekerjasama "bagai aur dengan tebing" untuk ....
  • bekerjasama untuk mengatasi masalah yang kian membimbangkan
  • berganding bahu mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah ....
  • bergabung tenaga untuk mengatasi ....
  • melipatgandakan usaha untuk ....
  • pelbagai langkah perlu diambil untuk ....
  • pelbagai langkah proaktif perlu digerakkan dengan berkesan demi ....
  • pelbagai tindakan drastik perlu diambil untuk ....
  • situasi ..... perlu ditangani dengan bijak agar ....
******************************************************************
SELAMAT MENGAPLIKASIKAN ILMU YANG DIPELAJARI.
TERUSKANLAH PERJUANGAN.


APAKAH YANG ADA DI TERATAK CIKGU?

APA KHABAR? SALAM PERJUANGAN.

Kunjungan ke teratak cikgu membolehkan kalian menghayati dan mengalami sendiri pengalaman teknik-teknik untuk memantapkan penulisan karangan Bahasa Melayu SPM. Selain mengaplikasikan teknik yang diajar oleh guru di dalam kelas, informasi di teratak cikgu akan membolehkan pelajar mendapatkan maklumat tentang teknik penulisan karangan yang cemerlang. Informasi yang boleh diaplikasikan:

  1. Kaedah menulis pendahuluan yang menarik.
  2. Kaedah menghuraikan perenggan isi karangan.
  3. Kaedah menulis kesimpulan karangan.
  4. Koleksi frasa-frasa menarik.
  5. Koleksi kata-kata hikmat.
  6. Koleksi kata-kata motivasi.
  7. Koleksi peribahasa.
  8. Koleksi pendapat tokoh / madah pujangga.
  9. Koleksi hadis pilihan.
  10. Koleksi maksud ayat al-Quran.
Namun, perlu diingatkan, kunjungan ke teratak ini bukanlah pakej lengkap yang membolehkan kalian terus sahaja mampu memantapkan penulisan karangan dengan efisien. Segala-galanya sememangnya perlu bermula dari tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran guru di dalam kelas, membuat latihan-latihan yang diamanahkan oleh guru dan memanfaatkan pelbagai bahan bacaan, kerana membaca pastinya berupaya meluaskan horizon pemikiran. Apa yang penting, tatkala membaca apa-apa sahaja bahan sekalipun, sediakan pen dan buku catatan istimewa bagi mencatat isu semasa, data-data, statistik penting, frasa-frasa menarik ataupun apa-apa sahaja yang mampu meningkatkan daya keintelektualan anda. Simpanlah buku catatan istimewa sebagai koleksi berharga untuk diulang kaji menjelang peperiksaan, seterusnya diabadikan dalam bentuk penulisan di blog kalian sendiri, mahupun tatkala melanjutkan pengajian selepas SPM.

SEKIAN DAHULU BUAT PEMBUKA BICARA. TERUSKANLAH PERJUANGAN !

Rabu, 10 Jun 2009

SELAMAT DATANG KE TERATAK CIKGU


ASSALAMUALAIKUM ! SALAM SEJAHTERA BUAT SEMUA ANAK DIDIK YANG DIKASIHI.

Hari-hari cuti berlalu penuh ceria, penuh bersemangat dan gembira. Kini, tibalah saat dan waktunya, kita menapak kembali ke sekolah. ADUH ! ADUHAI ! ADUH ! Cuma Tuhan yang maha mengerti ribut badai yang mengganas di samudera hati.

Mengenangkan seribu satu rasa sering bergelora di lubuk jiwa kita, dalam kebosanan menatap helaian-helaian tugasan sekolah, dalam kebimbangan terlupa bait-bait kata yang ingin disampaikan ketika pembentangan berkumpulan di kelas dan tatkala cuaca panas terik, tempias menerobos resah di bilik darjah, apa kata kita menenangkan sanubari, menikmati pendingin hawa di Makmal Multimedia. Marilah bersama-sama bersantai di TERATAK CIKGU DI UJANA ILMU.

SELAMAT MELUASKAN HORIZON PEMIKIRAN BAGI MEMANTAPKAN KEBERKESANAN GAYA PENULISAN KALIAN.